Masalah Yang Dijangka Pada Lewat Kehamilan

Anda sudah memasuki trimester ke 3 dan sekarang  terdapat cuma tinggal beberapa minggu lagi untuk anda melangkah ke alam seterusnya. Anda sudah mula merasa cemas dan berdebar berbaur dengan rasa gembira kerana penantian anda akan berakhir tidak lama lagi. Dalam masa yang sama anda juga mungkin mengalami perlbagai masalah baru yang sebelum ini tidak anda alami semasa awal kehamilan. Jangan takut kerana kebanyakkan terjadi dari fisiologi kehamilan yang normal.

Sakit belakang


Berat berlebihan dari awal kehamilan memberikan tekanan pada tulang belakang menyebabkan ia sakit dan tidak selesa. Anda juga akan merasa sengal dan tidak selesa pada pelvis dan bahagian paha kerana tekanan dari kepala bayi yang semakin membesar.

Untuk elakan sakit belakang, amalkan kedudukan yang betul. Duduk secara tegak dan gunakan kerusi yang boleh memberi sokongan pada belakang. Pada malam hari pula anda boleh amalkan tidur mengiring dengan meletakkan bantal dicelah paha anda. Gunakan sandal yang selesa semasa keluar rumah  dan elakkan memakai kasut tumit tinggi. Untuk mengurangkan sengal pada belakang, letakan pad suam pada tempat yang sakit dan anda boleh memakan panadol (ubat tahan sakit) sekiranya perlu.

Kontraksi Braxton Hick.


Anda  mungkin merasa perut tegang sepanjang masa dan selepas beberapa minit atau setengah jam, kemudian ia berhenti dengan sendiri. Kontraksi Braxton hick kerap terjadi tetapi ia tidak sesakit sakit bersalin sebenar. Kontraksi bersalin sebenar lebih kuat, menyakitkan dan menjadi semakin kerap. Sekiranya keadaan ini berlaku, jumpalah doktor anda secepat mungkin.

Buah dada bengkak


Jangan terkejut kerana perubahan ini kerana ia terjadi sebagai persediaan untuk pengeluaran susu  selepas bayi lahir. Buah dada mengembang dengan banyaknya akibat dari perubahan hormon yang menyebabkan peningkatan bilangan kelenjar susu dalam buah dada. Sekiranya kelihatan cecair kekuningan keluar dari puting, jangan cemas, ia adalah colostrum, susu dengan khasiat penting untuk khusus bayi baru lahir.

Lendir dari faraj.


Anda mungkin perasan lendir yang jernih yang keluar berlebihan semasa trimester ke 3. Sekiranya ia berlebihan dan membasahi seluar dalam anda dengan banyaknya, anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk pastikan anda tidak pecah ketuban. Sekiranya lendir yang keluar bercampur darah dan anda dalam lewat kehamilan, ia mungkin tanda bersalin. Lendir berdarah atau show adalah disebabkan oleh serviks yang terbuka secara beransur ansur.

Keletihan.


Anda mungkin mengalami  keletihan berpanjangan semasa trimester ini. Ini mungkin berpunca dari keletihan mental juga disebabkan terlalu banyak berfikir atau juga disebabkan terlalu kerap terjaga malam kerana kencing yang kerap. Kurangkan penggunaan tenaga di siang hari dan jangan mengangkat benda yang berat-berat. Amalkan makanan berzat dan tidur di siang hari sekiranya ada masa terluang. Minta suami untuk menolong kerja kerja seperti membasuh baju, menyiram dan kerja kerja dapur yang lain.

Kerap ke tandas.


Sekarang bayi anda lebih tembam dan kepala bayi yang membesar akan memberikan tekanan pada pundi kencing menyebabkan anda akan lebih kerap ke tandas termasuklah di malam hari. Anda juga dapati senang terkencing semasa bersin atau batuk. Untuk mengurangkan masalah ini, amalkan ke tandas dengan lebih kerap atau setiap kali membuang air kecil dan buanglah sepuas puasnya. Elakan sebarang minuman satu jam sebelum tidur dan pastikan pundi kencing kosong. Sekiranya perlu, anda boleh memakai pantiliner sekiranya ia tidak terkawal. Kalau  kencing kerap disertai dengan sakit dan pedih semasa membuang, eloklah jumpa dengan doktor, ia mungkin tanda jangkitan kuman.

Rasa pedih ulu hati dan sembelit.


Gejala berkaitan dengan usus kerap terjadi kerana semasa hamil berlaku rembesan hormon progesteron yang banyak menyebabkan otot usus menjadi lembut, kurang aktif dan tidak berfungsi dengan sepatutnya. Ia termasuklah salur pemakanan iaitu salur esophagus yang longgar  yang mengalakan peruapan asid menyebabkan anda kerap pedih diulu hati.

Usus yang tidak aktif menyebabkan isi perut sukar dirembes dengan efektif dan anda akan kerap mengalami sembelit. Untuk mengurangkan pedih perut, cuba makan dengan kuantiti sedikit tetapi lebih kerap. Elakkan makanan pedas, berkari dan air bergas. Untuk mengurangi sembelit, pastikan pengambilan air yang cukup dan makan lebih fiber seperti sayuran dan buahan. Sekiranya ia semakin teruk, jumpa doktor untuk preskripsi ubat selamat semasa hamil.

Buasir


Buasir adalah sebahagian dari vena varikos, satu keadaan dimana salur darah vena membengkak di sekitar lubang dubur atau anus. Ia juga akibat dari perut yang semakin membesar dan berat berlebihan pada pelvis anda. Ia sebenarnya sangat kerap terjadi dan dan anda janganlah cemas kerana anda bukan keseorangan. Untuk mengurangkan rasa tidak selesa, cuba rendam punggung anda dalam besen berisi air suam 10-20 minit. Jumpa doktor kalau bengkak menjadi lebih sakit atau berdarah semasa membuang air besar.

Sukar bernafas.


Semasa rahim membesar, ia mengembang ke abdomen atas dan menghimpit toraks anda menyebabkan paru-paru sukar mengembang. Ini memberikan tekanan pada paru paru menyebabkan pernafasan menjadi sukar. Baring pada posisi yang selesa dan kalau perlu tinggikan bantal anda semasa tidur supaya kedudukan kepala dan badan atas lebih tinggi.

Vena Varikos.


Volum darah anda akan meningkat dengan banyak semasa hamil untuk memberikan sokongan pada bayi yang membesar. Aliran darah yang berlebihan menyebabkan urat darah biru timbul pada peha dan betis. Urat urat besar juga mungkin timbul pada persekitaran paha dan sekitar faraj dan ini boleh merisaukan anda. Memang sukar untuk mengatasi masalah ini tetapi untuk mengurangkan ia menjadi semakin bengkak, elakkan dari berdiri atau duduk berterusan dan cubalah buat senaman kaki. Selalunya Vena varikos akan hilang sendiri selepas beberapa bulan bersalin.

Bengkak dimana mana.


Mungkin anda sudah tidak lagi memakai cincin kahwin anda kerana ia ketat, anda juga mungkin perasan yang pergelangan kaki menjadi bengkak dan muka menjadi sedikit bulat. Ini adalah disebabkan oleh bendalir tubuh yang berlebihan berpunca dari fisiologi kehamilan. Untuk kurangkannya, elakkan dari berdiri terlalu lama dan tinggikan kaki anda semasa tidur. Sekirnya anda mendapati berat badan naik mendadak atau pembengkakan nampak keterlaluan, eloklah jumpa doktor dengan segera. Ia mungkin tanda darah tinggi semasa hamil. (Pre-eclampsia )

Pertambahan berat badan.


Pertambahan berat yang normal ialah 200-500 g seminggu pada trimester ke 3. Pada masa hampir bersalin, anda sepatutnya sudah bertambah 10-15 kg dari berat sebelum hamil. Pertambahan berat ini disebabkan oleh berat bayi, uri, buah dada dan peningkatan bendalir badan dan pertambahan volum darah. Bergantung kepada saiz badan anda sebelumnya, doktor mungkin akan menasihati anda menambah berat badan sekiranya anda terlalu kurus begitulah sebaliknya. Sekiranya penigkatan berat badan anda tidak sebagaimana yang dijangka, anda mungkin akan dirujuk untuk ujian US bagi mengetahui berat badan bayi anda.


Tanda Tanda Serius


Sekirnya anda mengalami tanda tanda serius seperti dibawah, jangan tunggu sehingga temujanji doktor seterusnya. Jumpa doktor secepat mungkin.
  • Sakit perut berpanjangan
  • Muntah dan loya berterusan
  • Pendarahan faraj
  • Sakit atau pening kepala berpanjangan
  • Sakit semasa kencing
  • Berat badan naik keterlaluan atau terlalu bengkak




Masalah Yang Dijangka Pada Lewat Kehamilan Masalah Yang Dijangka Pada Lewat Kehamilan Reviewed by Unknown on Mei 19, 2014 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.