Oh... Saya Sudah Pecah Ketuban!

amnionSoalan : Doktor, saya rasa saya sudah pecah ketuban! Apa saya perlu buat?
Bayi anda berkembang dan membesar dalam kantung amnion yang juga bertindak untuk melindungi bayi dari sebarang gegaran dan hentakan. Jika amnion bocor, anda sudah pecah ketuban.
Sekiranya anda rasa ketuban sudah pecah, jangan panik. Pertama sekali, pastikan ia betul betul air ketuban. Pergi ke bilik air, kencing, lap kering, berdiri dan batuk. Kalau terdapat air meleleh ke celah peha kemungkinan besar anda sudah pecah ketuban.
Pakai sanitari pad dan periksa warna cecair dan berapa banyak anda sudah kehilangan air ketuban. Ada yang mengalami lelehan yang banyak sehingga membasahi tilam tetapi ada juga sedikit cuma menembusi seluar dalam sahaja. Jumpa doktor anda atau sekiranya ia terjadi di luar waktu pejabat, datang ke klinik kecemasan atau bilik bersalin dengan segera.
Sekiranya kandungan anda sudah 38 minggu ke atas dan anda cuma mengalami pecah ketuban tanpa sebarang tanda bersalin lain seperti kontraksi rahim, anda dikatakan pecah ketuban sebelum masa atau Pre-Labour Rupture of Membrane (PROM). Cukup bulan secara definasi adalah kandungan berusia di antara 38-42 minggu.
Sekiranya kandungan anda kurang dari 38 minggu, ia di panggil PPROM (Pre- Labour Pre-mature Rupture Of Membrane)
Jika kebocoran besar, air ketuban boleh hilang dengan banyak dan bayi anda berisiko untuk lemas disebabkan oleh tali pusat yang terhimpit oleh badan bayi. Kalau kandungan anda songsang, tali pusat mungkin terkeluar ke faraj dan anda perlu mengalami pembedahan kecemasan. Risiko jangkitan kuman juga menjadi tinggi disebabkan lapisan amnion yang bocor menyenangkan kuman merebak kedalam rahim dan menjangkiti bayi.
Warna air ketuban hampir sama dengan warna air kencing iaitu kekuningan, tidak berbau dan mungkin terdapat sedikit darah. Sekiranya ia berwarna hijau mungkin itu tanda bayi anda sudah berak dan anda perlu ke hospital dengan segera.
Di hospital, selalunya doktor atau bidan akan akan memeriksa samada pecah ketuban benar benar berlaku. Faraj mungkin akan diperiksa untuk takungan air dan warna air ketuban. Takungan air memberikan kepastian anda sudah pecah ketuban.
Bidan juga  akan memeriksa keadaan bayi anda dengan mendengar degupan jantung bayi. Pemeriksaan mengunakan mesin CTG mungkin akan dibuatkan untuk memastikan bayi anda tidak lemas dan dalam keadaan memuaskan.
Jika tiada takungan dan lelehan sudah terhenti ada kemungkinan ia cuma pancutan air kencing, ia kerap terjadi pada lewat kehamilan dan anda selalunya akan dibenarkan balik.
Jika sudah pasti anda pecah ketuban dan anda sudah cukup bulan atau hampir cukup bulan iaitu 36 minggu ke atas, anda boleh memilih untuk menunggu untuk kontraksi datang secara semulajadi iaitu selalunya terjadi dalam masa 24-48 jam. Bincang dengan doktor anda untuk rawatan seterusnya.
Walaubagaimanapun, sekiranya kandungan anda kurang dari 35 minggu, doktor akan menyarankan injeksi dexamethasone untuk mematangkan paru paru bayi kerana ada kemungkinan pecah air ketuban disertai dengan kelahiran pra-matang.
Anda mungkin akan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Terdapat pilihan samada untuk menunggu kelahiran semulajadi atau menjalani induce ( induction of labour). Doktor mungkin akan mengambil sampel air ketuban dan di hantar ke makmal untuk memastikan anda tidak membawa sebarang kuman berbahaya yang boleh menjangkiti bayi. Anda mungkin akan diberikan antibiotik sekiranya perlu.
Sekiranya kandungan anda sangat pra-matang iaitu kurang dari 34 minggu, anda mungkin akan di masukkan ke wad dalam masa yang lama untuk memantau kesihatan bayi sehingga ia cukup matang untuk dilahirkan.

DISCLAIMER
Laman Blog ini menyediakan maklumat untuk pengetahuan umum sahaja dan tidak bermaksud untuk memberikan rawatan tepat terhadap sesuatu penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menjadi, atau tidak boleh digunakan sebagai pengganti rawatan perubatan atau nasihat yang diberikan oleh pengamal perubatan yang lain.
Blogger tidak membuat diagnosis untuk penyakit anda atau cadangan tentang rawatan khusus untuk penyakit anda. Anda tidak boleh menganggap bahawa maklumat mengenai topik tertentu pada laman web ini adalah lengkap atau up-to-date. Anda tidak boleh mengabaikan atau membuat kelewatan dari mendapatkan nasihat perubatan kerana apa yang anda telah baca di laman web ini.
Oh... Saya Sudah Pecah Ketuban! Oh... Saya Sudah Pecah Ketuban! Reviewed by Unknown on Mei 06, 2016 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.