Ketuat Genital

ketuat

Ketuat genital adalah salah satu jenis jangkitan kelamin yang paling kerap terjadi di kalangan wanita. Ia disebabkan oleh virus Human papilloma (HPV). Wanita lebih cenderung mendapat ketuat genital kelamin berbanding lelaki.
Ia bermula dengan bintik kecil yang sukar di lihat dengan mata kasar tetapi apabila ia membesar, ketuat akan kelihatan seperti daging kecil yang bergerutu seperti cauliflower. Ketuat genital boleh tumbuh di bibir kemaluan, di dalam faraj, sekitar dubur dan pada pangkal rahim. Pada kaum lelaki, ia boleh tumbuh pada zakar dan buah zakar. Ketuat genital juga boleh membiak di dalam mulut atau tekak seseorang yang pernah membuat seks oral dengan orang yang dijangkiti HPV.

Punca

Ketuat genital disebabkan oleh Human Papilloma Virus  (HPV) yang merebak melalui hubungan seks. Setakat ini kajian menunjukkan terdapat 40 jenis spesies HPV yang boleh membawa kepada ketumbuhan ketuat genital. Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk dijangkiti termasuk:
  • Mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan berbilang
  • Mempunyai sejarah jangkitan kuman kelamin yang lain
  • Mempunyai hubungan seks rambang
  • Aktif seks semasa usia masih muda

Komplikasi ketuat genital termasuklah:

  • Kanser. Kanser serviks berkait rapat dengan jangkitan HPV genital. Sesetengah jenis HPV juga dikaitkan dengan kanser vulva, kanser dubur, kanser zakar, dan kanser mulut dan tekak.
  • Masalah semasa mengandung. Ketuat boleh menyebabkan masalah semasa hamil kerana ia boleh membesar dan menyebabkan masalah sukar kencing. Jika jangkitan menjadi teruk, ia boleh menyebabkan pendarahan faraj semasa bersalin.
  • Komplikasi bayi. Dalam kes yang sangat jarang, bayi yang dilahirkan dijangkiti ketuat genital pada leher mereka menyebabkan bayi sukar bernafas dan memerlukan pembedahan untuk memastikan saluran udara tidak disekat.

Rawatan

Jika anda tiada sebarang gejala, mungkin anda tidak memerlukan apa apa rawatan. Tetapi sekiranya ketuat disertai dengan rasa gatal, pedih, sakit dan masalah emosi, doktor akan  menyarankan beberapa kaedah rawatan untuk anda

Ubat

Krim Aldara iaitu krim antivirus yang disapu pada kawasan kulit boleh mengurangkan saiz ketuat dan meningkat keupayaan sistem imun. Elakkan berhubungan seks semasa rawatan kerana ia mengurangkan keberkesanan ubat dan juga boleh menyebabkan kulit pasangan anda menjadi pedih.

Pembedahan

Anda mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang ketuat yang lebih besar atau apabila krim Aldara tidak berkesan untuk mengurangkan saiz ketuat anda. Pembedahan juga disarankan kepada wanita hamil kerana pengambilan krim akan mendedahkan bayi anda terhadap kesan sampingan Aldara.

Pilihan pembedahan termasuk:

  • Cryotherapy iaitu dengan cara membekukan ketuat. Ketuat akan mati dan jaruh dengan sendiri.
  • Electrocautery. Prosedur ini menggunakan arus elektrik untuk membakar ketuat.
  • Surgical excision. Ketuat dipotong dengan mengunakan alat khas.
  • Rawatan laser. Rawatan laser berkesan tetapi agak mahal jadi ia selalunya dikhaskan kepada ketuat yang merangkumi kawasan kulit yang banyak dan sukar untuk dirawat.
Kesan-kesan sampingan boleh termasuk kejadian parut, bengkak dan kesakitan.

Pencegahan

Menggunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan seks boleh mengurangkan risiko anda dijangkiti ketuat genital walaupun ia tidak berkesan seratus peratus.

Vaksinasi

Vaksin dikenali sebagai Gardasil melindungi daripada beberapa strain HPV yang boleh menyebabkan kanser, dan juga penyebab ketuat genital.
Ketuat Genital Ketuat Genital Reviewed by Unknown on Mac 04, 2017 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.