Alat perancang keluarga IUD (Intra-Uterine Device)

Copper-IUd-400x300Jika anda berfikir untuk merancang keluarga, anda mungkin mahu mempertimbangkan IUD sebagai pilihan anda. IUD adalah alat perancang keluarga yang berkesan dan selamat bagi kebanyakan wanita dan ia boleh bertahan lama sehingga lima tahun. Walau-bagaimanapun, tidak semua wanita sesuai untuk memakai IUD, jadi berbincang dengan doktor anda samada anda sesuai untuk menggunakan kaedah ini atau tidak.
** Artikel ini cuma membincangkan IUD jenis Cooper. IUCD Mirena akan dibincang dalam artikel lain.

Apa itu IUD?

IUD bermaksud intra-uterine- device atau dalam bahasa malaysianya “alat dalam rahim.” Ia mencegah kehamilan dengan menghalang sperma daripada sampai ke telur dan jika berlaku persenyawaan, implantasi dicegah dari berlaku.

Sejauh mana keberkesanan IUD?

Jika anda menggunakan IUD dan ia berada dalam kedudukan yang betul di dalam rahim, peluang untuk hamil adalah kurang daripada 1%.

Apakah kebaikan IUD?

  • Ia bertahan lama sehingga 5 tahun
  • Senang di pakai. Hanya perlu satu sesi lawatan doktor untuk memasukkan IUD dan anda tidak lagi perlu berfikir tentangnya untuk lima tahun.
  • Ia selamat untuk digunakan semasa menyusukan badan
  • Ia tidak mengandungi hormon jadi anda tidak perlu risau tentang sebarang gangguan hormon.
  • Haid anda teratur.
  • Ia tidak menyebabkan kenaikan berat badan.

Kesan sampingan IUD?

Kebanyakan wanita yang sihat boleh menggunakan kaedah IUD. Tetapi IUD mempunyai kesan sampingan yang tersendiri yang mungkin boleh memberikan masalah kepada anda. Kesan terhadap wanita pula berbeza beza. Di antaranya ialah:
  • Aliran haid anda mungkin lebih banyak dan lama
  • Anda mungkin akan mengalami senggugut dan sakit belakang
  • Anda mungkin mengalami keputihan faraj lebih banyak dari biasa
  • Anda mungkin mengalami pendarahan faraj kecil di tengah bulan
  • Anda mungkin mengalami pendarahan selepas hubungan seks.

Siapa yang tidak digalakkan untuk mengambil IUD?

Anda tidak digalakan untuk mengambil IUD sekiranya
  • Anda mengalami jangkitan kuman kelamin
  • Anda pernah mengalami kehamilan di luar rahim
  • Anda hamil
  • Anda mengalami kanser rahim atau serviks
  • Anda yang mengalami pendarahan faraj tidak normal
  • Anda alah kepada tembaga ( cooper allergy)

Bagaimanakah IUD yang dimasukkan?

IUD boleh dimasukkan dengan senang dan dibuat semasa lawatan pesakit luar sahaja. Ia memakan masa kurang dari 5 minit. Mula mula anda berbaring di atas katil seperti mana ujian Pap. Serviks anda akan di kenal-pasti dengan menggunakan spekulum dan dibersihkan untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman. Kemudian doktor dengan perlahan lahan akan menolak IUD ke dalam serviks anda dan seterusnya ke dalam rahim.
Anda mungkin akan merasa sengal dan rasa sedikit tidak selesa tetapi ia akan berakhir dengan cepat. Doktor mungkin akan membuat ujian US selepas prosedur untuk memastikan ia betul betul berada di dalam rahim anda.
Di jangka akan berlaku pendarahan selepas beberapa hari dan juga mungkin anda merasa seperti sakit senggugut sekali sekala, jangan risau ia selalunya berakhir selepas beberapa hari.
IUD boleh dimasukkan pada bila-bila masa sahaja. Tetapi ia mungkin lebih selesa dimasukkan semasa haid kerana pintu rahim (serviks) paling terbuka.
Kadang-kadang agak sukar untuk memasukkan IUD bagi mereka yang mempunyai bentuk rahim retroverted atau mereka yang tidak pernah melahirkan secara normal disebabkan serviks yang sempit. Ini menyebabkan risiko kegagalan untuk memasukkan IUD menjadi tinggi. Jika risiko kegagalan dijangka tinggi, anda mungkin dinasihatkan untuk mencuba cara alat pencegah kehamilan yang lain seperti implanon.

Berapa lama lagi IUD mula berkesan?

IUD berkesan dengan serta merta selepas sebaik sahaja dimasukkan dalam rahim.

Adakah suami saya akan mengalami apa apa semasa hubungan kelamin?

Suami anda tidak akan dapat merasa apa-apa yang luar biasa, kerana IUD berada didalam rahim bukan dalam faraj. Suami anda juga tidak akan merasa tali IUD kerana ia sangat halus dan nipis.

Adakah terdapat risiko komplikasi dari IUD?

IUD jarang memberikan masalah yang serius tetapi komplikasi yang mungkin boleh terjadi termasuklah
  • Jangkitan kuman bakteria dalam rahim
  • Tembus dinding rahim
  • Kehamilan diluar rahim

Bagaimana IUD dikeluarkan?

Prosedur mengeluarkan IUD adalah lebih senang dari memasukkan IUD. Mula mula anda berbaring seperti mana ujian Pap. Serviks anda di kenal-pasti dengan tali IUD selalunya terjuntai dari lubangnya. Doktor akan menarik tali IUD anda dengan perlahan dan ia cuma mengambil masa beberapa minit sahaja.
Anda mungkin mempunyai beberapa kekejangan dan pendarahan selepas itu, tetapi selalunya akan hilang dalam 1-2 hari.
IUD berisiko untuk gugur dengan sendiri tanpa anda sedari dengan kadar 4% dan ia lebih kerap terjadi kepada mereka yang melahirkan anak berulang kali. Pastikan anda memeriksa tali IUD sebulan sekali terutama selepas haid. Jika tali terasa lebih pendek atau lebih panjang dari biasa mungkin kedudukan IUD sudah berubah dan tidak lagi efektif sebagaimana yang sepatutnya. Jika ini berlaku, hubungi doktor anda segera.
Alat perancang keluarga IUD (Intra-Uterine Device) Alat perancang  keluarga IUD  (Intra-Uterine Device) Reviewed by Unknown on April 28, 2016 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.