Keguguran Berulang atau Recurrent Miscarriages

Tiada yang lebih menyedihkan dari mengalami keguguran semasa hamil. Keguguran boleh menyebabkan fizikal dan mental kita terganggu dengan teruk. Kadang-kadang sangat susah untuk menerima kenyataan yang kita mengalami keguguran, apatah lagi sekiranya ia terjadi berulang kali.

Keguguran berulang ialah apabila wanita mengalami 3 atau lebih keguguran berturut-turut. Kebanyakan berlaku pada peringkat awal hamil. Ia sesuatu yang sangat sukar diterima oleh pasangan kerana selalunya keguguran ini tidak dapat dipastikan dengan jelas sebab kenapa ia berlaku. Walaupun keguguran adalah sesuatu yang sangat menyedihkan, ia sebenarnya terjadi lebih kerap dari apa yang kita jangka.


Pada kenyataannya, lebih daripada 25% kehamilan berakhir dengan keguguran terutamanya pada trimester pertama. Besar kemungkinan yang angka tersebut lebih tinggi. Ini kerana kebanyakan kandungan gugur berlaku sebelum wanita sempat menyedari mereka sebenarnya hamil. Kadar keguguran sebenar mungkin melebihi 50% dari keseluruhan mereka yang hamil.

Keguguran berulang adalah sangat jarang berlaku. Dianggarkan yang 5% pasangan akan mengalami 2 kali keguguran berturut-turut manakala 2% pula mengalami 3 kali keguguran berturut turut.

Siapakah yang berisiko untuk keguguran berulang ini?

Sesiapapun boleh mengalami keguguran berulang ini tetapi terdapat faktor faktor tertentu yang meninggikan risiko anda termasuklah:

1. Pernah gugur sebelumnya

Mereka yang mengalami 2 kali keguguran sebelumnya mempunyai 25% risiko untuk mendapat keguguran ketiga. Walau bagaimanpun bagi mereka yang cuma gugur sekali, risiko anda sama dengan mereka yang tidak pernah gugur.

2. Usia

Usia memainkan peranan penting terhadap peluang anda untuk hamil. Mereka yang berusia lebih dari 30 tahun lebih berisiko untuk mengalami keguguran, risikonya akan menjadi lebih tinggi sekiranya usia semakin bertambah.

3. Gaya hidup

Gaya hidup seperti merokok, meminum alkohol dan mengambil dadah meninggikan risiko anda untuk gugur berulang kali.

Sebab Keguguran Berulang

Malangnya agak susah untuk mengetahui dengan tepat sebab kenapa wanita mengalami kejadian ini. Kenyataannya, lebih dari 50% pasangan tidak akan mengetahui dengan sebenarnya apa yang menyebabkan keguguran ini berlaku. Walau bagaimanpun, terdapat beberapa penyakit yang dikaitkan dengan keguguran berulang iaitu:

1. Masalah darah beku

Keadaan ini dikaitkan dengan 15% daripada semua kes keguguran berulang. Masalah darah beku ini disebabkan oleh perjalanan darah yang tidak normal di dalam uri menyebabkan janin tidak dapat bekalan oksigen dan nutrisi yang cukup untuk hidup. Hasilnya, janin akan mati dan gugur. Kejadian darah beku ini selalunya disebabkan oleh antibodi phospholipid yang banyak di dalam darah.

2. Faktor genetik

Kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah dengan janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik. Supaya dapat berkembang dengan baik, janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Walau bagaimanapun, terjadi keadaan di mana kromosom tersebut tertinggal, kehilangan atau tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik sahaja selepas persenyawaan. Hasilnya, janin akan mati sejak dari awal lagi. Kromosom yang tidak sihat ini selalunya akan menjadi masalah keturunan dan dipercayai, 3-5% daripada keguguran berulang disebabkan oleh masalah genetik ini.

3. Masalah rahim tidak normal

Untuk memastikan yang janin membesar dengan sempurna, rahim perlulah berada dalam keadaan normal dari segi saiz dan bentuk. Mereka yang mempunyai rahim yang tidak normal akan menyebabkan implantasi sukar berlaku dan janin sukar membentuk di dalamnya. Contoh rahim yang tidak normal ialah parut yang terjadi akibat prosedur sebelumnya seperti D+C, ketumbuhan dalam rahim seperti fibroid atau uterine septa. Pangkal rahim longgar atau cervical incompetence juga boleh memberi keguguran berulang tetapi kebanyakan berlaku pada trimester kedua.

3. Hormon yang tidak seimbang

Hormon yang tidak normal mencangkupi 20% dari kesemua masalah keguguran berulang ini. Masalah seperti PCOS akan menyebabkan berlaku gangguan pada hormon yang penting untuk memelihara kehamilan yang sihat. Mereka yang mengalami keguguran begini sering kekurangan hormon progesterone dan mempunyai kandungan hormon LH yang terlalu tinggi yang boleh menganggu kehamilan.

Rawatan

Masih ada harapan bagi mereka yang mempunyai masalah begini. Sekiranya punca sebenar keadaan itu berlaku dapat diketahui, rawatan akan menjadi lebih senang.

1. Surgeri

Sekiranya anda mengalami parut di dalam rahim, surgeri mungkin dapat memulihkan rahim kembali supaya implantasi dapat berlaku dan janin dapat membentuk dengan baik.

2. Analisa Kromosom

Sekiranya anda didapati mengalami masalah kromosom, Doktor pakar genetik boleh menasihatkan anda cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko mendapat anak yang mempunyai masalah genetik atau cacat.

3. Ubat Hormon

Terapi hormon boleh menolong mengembalikan ketidakseimbangan hormon.

4. Ubat Anticoagulan

Sekiranya penyakit darah beku yang menyebakan anda mengalami keguguran, ubat anticoagulan mungkin dapat membaiki perjalanan darah dalam uri. Ubat aspirin dan heparin selalunya digunakan untuk merawat masalah ini.

5. Cervical Cerclage (Ikat Serviks)

Sekiranya anda seorang yang kerap mengalami keguguran pada semester kedua, kemungkinan yang anda mengalami serviks yang longgar. Doktor anda mungkin menyarankan satu prosedur yang dinamakan cervical cerclage bagi merawat keadaan ini. Ia adalah prosedur kecil di mana pangkal rahim akan diikat dan dibiarkan sehinggalah kandungan berusia 36-38 minggu dan ikatan tersebut akan dibuka semula.
Keguguran Berulang atau Recurrent Miscarriages Keguguran Berulang atau Recurrent Miscarriages Reviewed by Unknown on April 25, 2014 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.