Pengenalan
Sakit payudara (Mastalgia) merupakan gejala yang kerap terjadi yang sering memberi masalah di kalangan wanita berusia 30-50’an .
Sakit kerap digambarkan sebagai tajam, rasa berat, pedih apabila payudara disentuh. Sakit mungkin datang secara tiba tiba dan hilang secara sendiri atau berterusan sepanjang masa. Ramai wanita bimbang bahawa sakit payudara mungkin berkaitan dengan tanda serius terutama kanser payudara tetapi mengikut kajian Mastalgia tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser.
Kebanyakan wanita mengalami sakit ringan dan sederhana walaubagaimanapun, segelintir kecil wanita mengalami sakit yang teruk dan kronik sehingga mengganggu aktiviti harian sehingga membawa kepada tekanan perasaan.
Jenis-jenis Sakit Payudara
Terdapat dua jenis kesakitan: Sakit berkait dengan kitaran haid dan sakit yang langsung tiada kaitan dengan haid.
Sakit Semasa Kitaran Haid ( cyclical pain)
Walaupun punca sebenar tidak diketahui, ia dipercayai berkaitan dengan perubahan hormon estrogen yang boleh memberi pelbagai kesan pada badan anda.
Kesakitan terjadi pada masa yang sama setiap bulan, biasanya satu hingga tiga hari sebelum bermulanya haid anda.
Sakit yang tiada kaitan dengan haid ( noncyclical pain)
Mastitis - berlaku semasa penyusuan susu ibu dimana payudara menjadi sakit dan bengkak.
Ketulan pada Payudara- Terdapat banyak ketulan bukan kanser (benign) yang boleh menjadi punca kesakitan.
Payudara Bernanah - Jangkitan kuman boleh menyebabkan payudara di penuhi nanah dan menyebabkan kesakitan.
Kejang Pada otot dada - Kesakitan payudara kitaran juga boleh terjadi daripada kecederaan/masalah pada bahagian badan lain, termasuk otot dada yang boleh dirasai pada payudara.
Kesan sampingan Ubat Ubatan - Dalam kes-kes yang jarang berlaku, sakit payudara bukan kitaran mungkin disebabkan oleh ubat-ubatan dan rawatan yang lain - seperti antikulat, antidepresan atau antipsikotik.
Bila Perlu jumpa doktor
Jumpa doktor anda dengan segera sekiranya anda dapati terdapat perubahan pada payudara anda seperti:
- Terdapat ketulan atau kekerasan pada tisu payudara.
- Keluar darah daripada puting anda
- Bengkak di salah satu ketiak
- Perubahan dalam saiz atau bentuk salah satu atau kedua-dua payudara anda
- Lekok (dimple) pada kulit payudara anda
- Ruam pada kulit atau sekitar puting anda
- Puting tengelam
- Sakit pada payudara atau ketiak yang tidak berkaitan dengan haid anda
- Tanda-tanda jangkitan kuman, seperti bengkak, kemerahan atau kehangatan pada buah dada, atau demam
Bagaimana sakit payudara dirawat?
Selalunya doktor akan menyarankan ultrasound payudara untuk memastikan anda bebas dari masalah serius. Bagi wanita berusia 40 tahun keatas Mammografi perlu dilakukan untuk pastikan ia tidak berkait dengan kanser.
Kebanyakan kes sakit payudara sembuh tanpa rawatan, tetapi sakit mungkin timbul semula beberapa bulan kemudiannya.
Ramai wanita didapati boleh menahan rasa sakit kerana lega bahawa ia bukan disebabkan oleh kanser.
Kesakitan biasanya boleh diuruskan oleh ubat penahan sakit dalam bentuk tablet atau gel seperti paracetamol atau ibuprofen.
Jika kesakitan payudara anda disebabkan oleh keadaan lain, seperti jangkitan kuman, antibiotik akan disarankan.
Jika kesakitan payudara anda menjejaskan kualiti hidup anda, buat diari untuk rekodkan kekerapan sakit anda dan anda boleh dirujuk kepada seorang pakar payudara untuk rawatan lanjut.
Sakit Payudara
Reviewed by Unknown
on
Julai 26, 2016
Rating:
Tiada ulasan: