Spotting atau Pendarahan Kecil di Tengah bulan

spotting

Pendarahan haid berlaku dalam anggaran setiap 28 hari. Setiap bulan, lapisan rahim menebal sebagai persediaan untuk terjadi kehamilan. Jika hamil tidak berlaku, lapisan rahim gugur dan berlaku pendarahan.

Spotting’ adalah pendarahan kecil faraj yang tidak ada kaitan dengan haid anda dan ia selalu terjadi di pertengahan kitaran haid.

Kebanyakan pendarahan kecil ini bukan tanda masalah yang serius jika kejadian ini hanya berlaku sekali sekala sahaja tetapi sekiranya ia kerap terjadi, ia mungkin tanda ada masalah serius pada organ pembiakan anda.


Punca Pendarahan Kecil

Ovulasi

Bagi sesetengah wanita, apabila ovari melepaskan telur, ia menyebabkan pendarahan kecil faraj yang berlangsung selama beberapa hari. Ia mungkin disertai dengan rasa sengal pada perut tetapi tidak lama.

Pendarahan Implantasi

Kira-kira seminggu selepas telur disenyawakan, akan berlaku implantasi pada rahim yang disertai dengan pendarahan kecil pada faraj. Pendarahan mungkin berterusan 1 hingga 2 hari.

Kesan Sampingan Pil hormon

Pil perancang kerap dikaitkan dengan pendarahan kecil terutama pada beberapa bulan pertama pengambilan. Walau bagaimanapun, sekiranya ia berterusan, elok jumpa doktor untuk memastikan ia tiada kaitan dengan masalah rahim.

Menyusu Badan

Menyusu menahan ovulasi dari terjadi, terutamanya jika bayi menyusu secara eksklusif. Ramai wanita tidak mengalami haid dan cuma mengalami pendarahan kecil disebabkan perubahan hormon.

Polip Rahim

Polip adalah ketumbuhan bukan barah dalam rahim yang kerap dikaitkan dengan pendarahan kecil di tengah bulan. Tanda-tanda lain termasuk sakit pelvis, sukar hamil dan haid yang tidak teratur.

Luka Pada atau Dalam Faraj

Kecederaan kepada faraj, pangkal rahim, atau rahim boleh menyebabkan pendarahan kecil yang tidak normal. Hubungan seks kasar atau ujian PAP, sebagai contoh, boleh melukakan serviks atau tisu faraj dan menyebabkan pendarahan.

Keguguran

Keguguran yang sangat awal kerap dikaitkan dengan pendarahan kecil. Ramai wanita tidak menyedari mereka sebenarnya hamil dan keguguran.

Jangkitan Kelamin

Sesetengah jangkitan kelamin (STI) boleh menyebabkan pendarahan faraj kecil yang tidak normal.

Kanser

Spotting boleh menjadi sebahagian dari tanda kanser. Jenis-jenis kanser yang boleh menyebabkan pendarahan kecil termasuk: Kanser faraj, serviks, rahim dan ovari.

Bila perlu jumpa doktor

Mana-mana wanita yang mengalami ‘spotting’ yang berpanjangan eloklah berjumpa doktor untuk memastikan ia tiada kaitan dengan masalah yang lebih serius seperti kanser.
Spotting atau Pendarahan Kecil di Tengah bulan Spotting atau Pendarahan Kecil di Tengah bulan Reviewed by Unknown on Julai 03, 2017 Rating: 5

Tiada ulasan:

top navigation

Dikuasakan oleh Blogger.